ALOR SETAR 4 Julai – Tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional negeri menyokong pelantikan Speaker dari kalangan calon Pakatan Harapan (PH) dipersoalkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar.
![]() |
|
SYED MOHD. JOHAN RIZAL
|
Ketuanya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tindakan tersebut sungguh mengecewakan malah boleh dianggap sebagai kekalahan moral buat UMNO.
“Kami tidak faham atas pertimbangan apa mereka membuat keputusan itu yang dilihat seolah-olah mengenepikan maruah parti. Bagi kami, ketiga-tiga mereka berhutang penjelasan kepada seluruh penyokong parti mengenai tindakan itu.
“Kami berpendapat adalah lebih baik mereka mengambil sikap berkecuali daripada meyokong mana-mana pihak. Sokongan tidak seharusnya diberikan PH yang pada masa ini sedang menekan UMNO dan pemimpinnya menerusi pelbagai tindakan seperti membekukan akaun serta melakukan pendakwaan terpilih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kemelut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah selesai apabila bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Datuk Ahmad Kassim dipilih memegang jawatan itu dalam Sidang DUN pertama hari ini.
Ahmad, 55, yang merupakan bekas Ahli Parlimen dari PKR itu dilantik setelah memperoleh undi majoriti sebanyak 21 daripada 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir dalam majlis tersebut.
Syed Johan menambah, walaupun pendirian berkecuali akan tetap membolehkan pelantikan speaker dibuat dalam kalangan calon dikemukakan PH, namun perkara itu berkait rapat dengan prinsip parti yang harus dipertahankan.
“ADUN berkenaan boleh bersetuju soal dasar, belanjawan dan apa sahaja usul berkaitan kepentingan rakyat yang akan dibentangkan di DUN kelak, tetapi menyokong lantikan speaker hari ini tidak mengambarkan semangat perjuangan yang tulen.
“Jangan lupa Menteri Besar serta barisan kepimpinan Exco sekarang ini menghina pemimpin dan parti UMNO dengan pelbagai tuduhan melampau, adakah tindakan menyokong lantikan speaker itu bermaksud ADUN BN merelakan segala penghinaan terhadap parti?” soalnya.
Beliau berkata, sokongan ditunjukkan itu juga tidak wajar ketika kerajaan PH ketika ini dilihat seolah-olah menipu rakyat kerana gagal memenuhi selain mengambil tindakan yang bercanggah dengan manifesto diperjuangkan. – UTUSAN ONLINE












