KUALA LUMPUR 4 Julai – Jenazah Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif, lima bulan, yang ditemukan mati di rumah pengasuhnya semalam akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ladang Sekolah, Kuala Terengganu, Terengganu.
Perkara itu disahkan oleh datuk saudara mangsa yang berkata, proses pengebumian akan dijalankan hari ini juga.
“Segala urusan di Terengganu sudah diselesaikan dan mereka hanya menanti jenazah Adam tiba,” katanya.
Sebelum itu, jenazah dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.06 petang selepas proses bedah siasat tamat kira-kira pukul 2 petang.
Bapa bayi itu, Mohd. Sufi Naeif Mohd. Fauzi, 28, dilihat sebak sebaik sahaja proses bedah siasat selesai.
Sebanyak empat buah kenderaan mengiringi jenazah yang dipangku oleh ibunya, Farrah Madihah Othman, 28.
Semalam, polis menemukan mayat Adam Rayqal yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini malam tadi.
Mayat Adam Rayqal ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dan berbalut kain napkin serta dimasukkan ke dalam beg berwarna hijau dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya telah menahan pengasuh berusia 33 tahun dan rakan serumahnya yang berusia 36 tahun di rumah sewa mereka semalam.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











