KOTA BHARU 4 Julai – Tindakan penyeludup mengubah suai tangki dan bahagian depan dua motosikal bagi mengisi petrol gagal mengaburi mata penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan dalam operasi di Rantau Panjang, kelmarin.
Dalam operasi pukul 8.30 pagi di pekarangan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang itu, pasukan penguat kuasa berjaya menahan dan merampas dua motosikal jenis Yamaha RXZ berkenaan.
Pemangku Pengarah KPDNHEP Kelantan, Firdus Zakaria berkata, dua motosikal berkenaan masing-masing didapati membawa sehingga 20 liter petrol yang diisi dalam tangki serta bahagian depan motosikal.
Bagaimanapun katanya, penunggang motosikal terbabit berjaya meloloskan diri.
“Ini kes pertama tahun ini melibatkan motosikal. Petrol tersebut dipenuhkan di dalam plastik khas bertutup kemas dan dibungkus dengan kain sebelum dimasukkan ke satu bahagian hadapan lampu motosikal yang diubahsuai.
“Tangki petrol motosikal juga diubahsuai supaya lebih besar dan boleh diisi sehingga 10 liter petrol dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut Firdus, penyeludupan petrol kini kembali aktif sejak awal tahun ini dan kegiatan tersebut kebiasaannya didalangi warga Thailand.
“Dengan motosikal, suspek senang untuk berulang alik melakukan kerja-kerja memunggah petrol. Mereka berulang-alik sehingga 20 kali sehari dan mendapat keuntungan RM17 bagi satu trip atau sekitar RM240 sehari,” katanya. – UTUSAN ONLINE











