KUALA LUMPUR 4 Julai – Pemuda DAP perlu menghormati dan menerima keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu pelantikan menteri Kabinet baharu yang dibuat sebelum ini.
![]() |
|
Jenice Lee
|
Bekas wakil rakyat DAP, Jenice Lee Ying Ha yakin, perasaan tidak puas hati yang dibangkitkan oleh beberapa pihak terhadap keputusan itu hanya disebabkan kelayakan serta pengalaman beberapa calon dalam barisan Kabinet baharu.
“Jika dibandingkan dengan beberapa nama dalam barisan Kabinet, Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dilihat paling layak kerana pengalamannya dalam bidang politik berbanding Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.
“Mungkin juga ada nama lain lagi yang sepatutnya dipilih. Walau bagaimanapun, keputusan telah dibuat dan mereka perlu terima apa jua keputusan Dr. Mahathir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda DAP Wong Kah Woh mengkritik Dr. Mahathir kerana gagal mengikut senarai calon anggota Kabinet seperti mana dicadangkan oleh kepemimpinan DAP termasuk pemilihan Kor Ming dan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen. – UTUSAN ONLINE












