KUALA LUMPUR 4 Julai – Lebih dikenali sebagai anggota kumpulan KPOP 2PM, Nickhun mengakui penglibatannya dalam filem Brother Of The Year memberi lebih ruang untuk dia memperbaiki teknik lakonannya yang dimilikinya selama ini.
Malah berkongsi pengalaman berlakon dalam filem Thailand yang mendapat sambutan ini juga, Nickhun akui watak Moji yang dibawa dirinya sedikit sebanyak menggambarkan siapa Nickhun.
”Dengan bantuan pengarah dan dua lagi pelakon hebat Yaya dan Sunny, saya sangat bertuah untuk dapat bekerja dalam projek kali ini.
“Boleh dikatakan watak Moji yang dibawa ini banyak persamaannya dengan saya, Sebabnya dalam filem ini Moji adalah seorang yang teratur dan tidak terlalu sukar untuk membawakan watak ini dengan sokongan pelakon-pelakon yang hebat,” katanya.
Jelas Nickhun lagi berpeluang untuk kembali berlakon di negara kelahirannya, Thailand juga adalah perkara yang ditunggu memandangkan sepanjang membina nama sebagai penyanyi dia banyak menghabiskan masanya di luar Thailand.
“Saya tidak banyak dapat peluang berlakon dan bila ditawarkan berlakon dalam filem ini saya sangat suka.
“Malah apa yang lebih penting memandangkan filem ini menjalani penggambaran di Thailand, memberi peluang untuk saya menghabiskan masa bersama keluarga saya di sana,’katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar filem Brother Of The Year sempena tayangan di Malaysia.
Sementara itu bagi Yaya atau nama sebenarnya Urassaya Sperbund dia cukup tersentuh dalam menghayati watak sebagai Jane dalam filem ini memandangkan dia tahu kisah ini cukup dekat dengan mereka di luar sana.
“Sebagai anak bongsu dalam keluarga saya juga melalui perasaan sayang terhadap adik beradik yang lain. Sesuatu yang gila sebab dalam satu masa kita boleh benci dan sayang mereka.
“Saya sangat bertuah untuk berada dalam filem ini sekaligus dapat membawakan watak ini,” katanya.
Sentiasa mencuri tumpuan dengan ketampanan yang dimiliki, nama Sunny Suwanmethanont mungkin bukan asing dalam kalangan peminat filem Thailand. Bagaimanapun bagi pelakon yang kali pertama berada di Malaysia ini dia cukup terharu dengan sokongan yang diberikan peminat di negara ini terhadap dirinya.
“Ini adalah kali pertama saya di Malaysia, saya tidak pernah ke sini. Saya tidak pasti sama ada peminat di sini pernah menonton dan mengenali saya,” katanya sambil bertanya kepada wartawan yang hadir.
“Mengetahui ramai yang menyukai filem ini sangat menyenangkan. Bagi saya apa yang penting tentang mesej yang ingin disampaikan dalam filem ini kerana hubungan adik beradik sering kali dipandang enteng dalam masyarakat,” katanya.
Filem Brother Of The Year yang menjadi filem pecah panggung di Thailand kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Berkisar mengenai kisah kasih sayang antara seorang abang dan adik, filem menyentuh hati ini juga turut memaparkan realiti masyarakat dunia kini. – UTUSAN ONLINE











