KLANG 4 Julai – Majlis Perbandaran Klang (MPK) melaungkan keyakinan untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Sukan Kerajaan Tempatan dan meraih kejayaan dalam Majlis, Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (Maksak).
Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, beliau yakin dengan kemampuan atlet yang akan mewakili pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kejohanan melibatkan beberapa jenis sukan tersebut.
“Keyakinan ini saya zahirkan bersandarkan beberapa siri latihan yang diadakan oleh peserta-peserta terlibat.
“Persediaan rapi ini dijangka menambah lagi momentum kemenangan MPK dalam acara-acara yang dipertandingkan tidak lama lagi dalam dua kejohanan sukan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan dengan pengurus serta pemain pasukan tenpin boling dan pasukan boling padang Maksak Selangor di sini, hari ini.
Yang hadir sama ialah Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi dan Penolong Setiausaha Maksak Selangor.
Mohamad Yasid menambah, sebagai PBT terbesar, pengurusan pihaknya sentiasa memberi perhatian kepada aspek sukan memandangkan MPK bukan hanya terbabit dalam kejohanan ini malah dalam sukan badan berkanun dan beberapa pertandingan lain.
“MPK sebagai sebuah PBT sentiasa mendoakan kesemua peserta untuk berjuang atas semangat mengharumkan nama pasukan dan nama MPK khususnya dan Selangor amnya,” katanya.
Jelasnya, MPK selaku wakil Selangor bagi acara boling padang Maksak bakal memberi elemen kejutan dalam kejohanan yang akan diadakan di Kuantan, Pahang dan skuad boling yang akan beraksi di Sarawak nanti. – UTUSAN ONLINE











