KUALA LUMPUR 4 Julai – Pengasuh kepada bayi lelaki Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif dikatakan turut menjaga dua lagi kanak-kanak yang seorangnya daripadanya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
Jiran suspek, Raja Rahmah Raja Yussof, 65, berkata, pengasuh wanita terbabit dikatakan telah menyewa bersama sepupunya di rumah tersebut.
Ujarnya, pengasuh tersebut dikatakan penyayang dalam kalangan jiran kerana menjaga seorang kanak-kanak OKU yang buta dan tidak boleh berjalan.
“Saya selalu juga bertegur sapa dengan suspek namun tidak menyangka dia tergamak buat perkara sebegini memandangkan selalu membawa kanak-kanak OKU itu menerima rawatan di hospital,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, polis menemukan mayat bayi lelaki Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini malam tadi.
Mayat Adam Rayqal yang berusia lima bulan itu ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dan berbalut kain napkin serta dimasukkan ke dalam beg berwarna hijau dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah berkenaan. – UTUSAN ONLINE











