JURULATIH Pahang, Dollah Salleh membakar semangat anak-anak buahnya sebelum perlawanan agar beraksi menentang pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dalam separuh akhir kedua Piala FA di Ipoh kelmarin dengan menganggapnya sebagai perlawanan akhir.
![]() |
|
DOLLAH
|
Katanya, beliau sering mengingatkan para pemain Pahang berjuang habis-habisan ketika menentang PKNP FC kerana pasukan tersebut bukan mudah untuk ditundukkan.
“Saya selalu tekankan kepada pemain, skuad seperti PKNP FC inilah yang sering membuatkan pasukan yang dilihat mampu menang di atas kertas itu kalah dalam perlawanan.
“Mereka mempunyai keazaman dan semangat juang yang tinggi serta bukan calang-calang pasukan,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Dollah berpesan kepada para pemainnya agar mendapatkan jaringan awal kerana bimbang PKNP FC akan bermain dengan corak melewat-lewatkan masa disebabkan mereka sudah mempunyai satu jaringan di tempat lawan pada perlawanan separuh akhir pertama sebelum ini.
“Saya khuatir PKNP FC bermain untuk melewatkan masa. Oleh sebab itu saya mengingatkan pemain agar mendapatkan gol awal dan kita berjaya memperolehnya.
“Saya memuji barisan pemain yang amat berdisiplin di benteng pertahanan di samping melancarkan serangan balas yang mampu menghasilkan gol,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, Pahang menewaskan PKNP FC dengan keputusan 2-1, sekali gus mara ke peringkat akhir dengan agregat 3-2.
Gol kemenangan Pahang dihasilkan oleh Austin Amutu dan Norshahrul Idlan Talaha, manakala gol sagu hati pasukan yang diperoleh hasil sentuhan Suhaizi Shukri.
Pada peringkat akhir Piala FA, Pahang akan menentang Selangor yang menewaskan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) dengan agregat 5-1, Sabtu lalu.












