PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sedia memberikan sepenuh fokus kepada barisan pemain muda negara bagi memastikan arena badminton negara kembali bersinar pada masa depan.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengakui bimbang sukan badminton akan menuju zaman gelap sekiranya jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei membuat keputusan untuk menggantung raket.
Meskipun mengakui gembira dengan kecemerlangan Chong Wei merangkul gelaran Terbuka Malaysia buat kali ke-12, namun Norza tetap kecewa selepas pemain-pemain senior lain gagal menghasilkan keputusan positif pada kejohanan tersebut.
Chong Wei yang berusia 36 tahun menjadi satu-satunya wakil negara yang beraksi di pentas final kelmarin selepas pemain-pemain lain termasuk beregu lelaki No. 1 Malaysia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tersungkur lebih awal.
“BAM ucapkan tahniah kepada Chong Wei atas kejayaan merangkul gelaran ke-12 di sini. Ia merupakan suatu pencapaian menakjubkan, namun saya akui bimbang dan sedih dengan kegagalan beregu lelaki serta beregu campuran.
“Adakah kita mampu untuk tarik penonton seramai ini yang mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia sekiranya Chong Wei sudah tiada. Sebenarnya kita masih ketandusan pemain yang memiliki aura sepertinya,” katanya.
Justeru, Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan Ahli Majlis BAM sudah sebulat suara untuk meneruskan pelaburan ke atas pemain-pemain muda yang mula menunjukkan potensi sebenar.
Pemain-pemain muda seperti beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta dua perseorangan wanita, Goh Jin Wei dan Lee Ying Ying menunjukkan prestasi memberangsangkan pada Terbuka Malaysia yang berakhir kelmarin.
“Kita sudah dapat persetujuan ahli majlis untuk melihat pemain-pemain senior tunjukkan kebangkitan kerana sudah terlalu lama kita berikan masa kepada mereka. Selain itu, kita akan teruskan pelaburan ke atas pemain muda yang menunjukkan potensi dimiliki.
“Saya fikir pelaburan ke atas pemain muda mula menunjukkan sinar menerusi peningkatan prestasi yang ditunjukkan, jadi lebih baik kita terus fokus membangunkan pemain muda,” ujarnya.











