PADA 16 Julai ini, seramai 222 Ahli Parlimen baharu akan mengangkat sumpah di Dewan Rakyat. Sudah pastilah mereka berupaya atau berada di kedudukan tersebut hasil daripada mandat yang diberikan oleh rakyat semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Dan sudah tentu kesemua mereka menjadi ahli Parlimen dan akan menikmati segala kemudahan termasuk gaji dan elaun adalah hasil undi rakyat di kawasan masing-masing yang kita percaya bukan atas kapasiti individu tetapi parti yang mereka wakili.
Oleh itu, apabila ada ahli Parlimen mengambil tindakan mengisytiharkan menjadi wakil rakyat bebas atas apapun alasan sama sekali tidak boleh diterima. Ini kerana mereka secara langsung sudah mengkhianati mandat dan amanah yang diterima.
Setakat ini sudah tiga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berbuat demikian iaitu Datuk Dr. Noor Azmi (Bagan Serai), Datuk Syed Abu Husin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan terbaharu, Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).
Pelbagai alasan diberikan, tetapi ini tidak boleh dijadikan sandaran untuk kita ‘menghalalkan pengkhianatan’ kepada mandat rakyat yang mereka terima. Bagi penulis, seorang ahli politik perlu mempunyai moral dan integriti tinggi.
Begitulah juga dalam soal menang dalam pilihan raya. Mereka mungkin tidak akan menang jika bertanding atas kapasiti peribadi, tetapi rakyat memberi kepercayaan kepada mereka kerana mengharapkan wakil rakyat berkenaan akan memperjuangkan nasib mereka melalui parti yang diwakili.
Justeru adalah lebih baik jika, mana-mana ahli Parlimen yang bertindak menjadi wakil rakyat bebas atau melompat parti membuktikan mereka mempunyai maruah politik dengan meletakkan jawatan dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan.
Adalah tidak adil kepada rakyat termasuklah jentera parti yang bermati-matian memenangkan mereka tetapi akhirnya demi kepentingan peribadi mereka membuat keputusan meninggalkan parti yang diwakili ketika pilihan raya.
Memang benar tidak ada undang-undang yang boleh menghalang mereka untuk berbuat demikian tetapi bagaimanakah dengan moral politik? Kalau berasa hebat sangat dan pasti mendapat sokongan rakyat di kawasan mereka, letaklah jawatan, izinkan pilihan raya kecil diadakan dan bertandinglah atas tiket bebas.
Tetapi penulis percaya kelompok tersebut tidak berani berbuat demikian. Mereka akan memberi alasan apa yang dilakukan adalah demi kepentingan dan memenuhi tuntutan rakyat. Kalau begitu atas alasan yang sama, mereka juga perlu berani untuk turun bertemu rakyat dan bertanya adakah rakyat di kawasan masing-masing merestui `pengkhianatan’ yang mereka lakukan.
Dalam apapun keadaan matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Inilah moral atau prinsip politik yang harus dipegang oleh mana-mana juga wakil rakyat tidak kira di peringkat Parlimen mahupun DUN. Kita sudah bosan apabila di sesetengah negeri, mandat yang diberikan oleh rakyat begitu murah untuk digadaikan demi kepentingan politik peribadi wakil-wakil rakyat terlibat.
Politik tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab ini perlu dihentikan. Mungkin sudah sampai masanya untuk negara mewujudkan satu undang-undang khas yang menetapkan mana-mana wakil rakyat yang mengisytiharkan menjadi wakil rakyat bebas atau melompat parti akan kehilangan kerusi yang diwakilinya.
Tindakan itu adalah lebih adil kepada rakyat di kawasan yang mereka wakili. Walaupun kita mengakui ada sesetengah kawasan, rakyat memilih wakil rakyat berdasarkan individu tetapi di sebahagian besar wakil rakyat dipilih disebabkan parti yang mereka wakili ketika pilihan rakyat.
Walaupun penulis percaya, tindakan tiga Ahli Parlimen BN itu tidak akan menjadi ‘kudis gatal’ kepada parti tersebut, tetapi tindakan ‘tidak bermoral’ tersebut harus dihentikan. Mereka tidak boleh dibiarkan menikmati keistimewaan dan faedah sebagai wakil rakyat hasil undi yang dikhianati.
Hakikatnya, kita tidak peduli ke mana pun mereka hendak pergi, sama ada mahu menyertai parti lain demi survival peribadi atau kekal sebagai wakil rakyat bebas, tetapi itu tidak bermaksud kita boleh mengizinkan mereka mempermainkan mandat rakyat.
Sebab itulah, banyak pihak berpendapat wajarnya satu undang-undang khusus diwujudkan bagi membendung gejala ini. Sebagai sebuah kerajaan yang menguar-uarkan ‘kerajaan rakyat’ dan memaparkan mempunyai integriti tinggi, bertindaklah dalam isu ini.
Janganlah kerana yang menjadi wakil rakyat bebas itu daripada BN maka ia boleh ‘dihalalkan’ tetapi apabila ada wakil rakyat dalam kalangan mereka bertindak demikian dianggap ‘pengkhianatan’.
‘Pengkhianatan’ terhadap mandat rakyat itu merangkumi semua parti. Ahli Parlimen dan ADUN yang tidak tahu mengenang budi rakyat selepas menang pilihan raya tidak layak menjadi pemimpin. Justeru wujudlah undang-undang khususnya bagi menghalang perbuatan yang dianggap membuktikan betapa mudahnya mandat rakyat dipermainkan.
Sementara itu, diharapkan tiga ahli Parlimen BN yang mengisytiharkan wakil rakyat bebas akan mempunyai rasa malu untuk mengangkat sumpah pada 16 Julai ini. Ini memandangkan mereka mungkin tidak layak berbuat demikian jika bertanding atas tiket bebas.
Jadilah ahli politik yang betul-betul bermaruah dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat dan selepas itu jika mereka bertanding serta menang, bolehlah dengar ‘gah’ masuk ke Dewan Rakyat untuk mengangkat sumpah. Memang kita berada dalam Malaysia Baharu, tetapi ini bukan bermaksud segala-galanya boleh ‘dihalalkan’ dengan menggunakan nama rakyat.











