Iltizam Noraini redah cabaran era digital - Utusan Malaysia

Iltizam Noraini redah cabaran era digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK DR. NORAINI AHMAD sudah dipilih untuk menerajui Pergerakan Wanita UMNO sesi 2018-2021. Ramai menjangkakan kemenangan bekas Exco pergerakan itu, namun bukan bererti menidakkan kewibawaan dua lagi pencabar­nya, Datuk Azizah Mohd. Dun dan Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman. Kedua-dua individu ber­kenaan juga tidak kurang hebatnya ke­rana masing-masing merupakan bekas Naib Ketua dan bekas Ke­tua pergerakan itu sendiri.

Kemenangan Dr. Noraini jelas sekali membawa mesej pen­ting ahli akar umbi untuk melihat perubahan drastik khususnya dalam pergerakan itu dan parti keseluruhannya. Sememangnya bukan mudah untuk memimpin sebuah pergerakan dalam ke­adaan parti sudah tidak lagi berkuasa di pe­ringkat kerajaan.

Sama ada mahu mengakui atau menafikannya, Wanita UMNO terlalu lama enak diulit dengan label tulang belakang parti. Seluruh ahli dan penyokongnya asyik dengan dodoian itu seolah-olah sudah selesa dengan gelaran seumpama itu sehinggalah mereka disedarkan dengan tamparan rakyat melalui keputusan PRU-14 lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sama ada hal-hal negatif yang dilemparkan kepada UMNO sebelum ini dengan paling banyak berkisar soal politik wang adalah satu persepsi, fitnah atau sebaliknya, rakyat telah pun bersuara menolak parti berusia 72 tahun itu untuk terus memimpin mereka.

Terlalu sukar untuk membuang segala ‘badi’ yang telah melekat lebih setengah abad lalu. Ternyata, segala gerak kerja, agenda dan visi pergerakan sayap parti perlu berubah secara total. Segala bayangan kepemimpinan terdahulu juga wajar dikalihkan. Inilah yang perlu dilakukan oleh kepemimpinan baharu. Mereka tidak boleh lagi bernostalgia semata-mata mahu menjaga hati. Sekarang ini adalah tempoh masa untuk bergerak ke hadapan.

Dr. Noraini diberi kepercayaan untuk menggalas tugas dan tanggungjawab itu. Amanah ini tidak boleh disia-siakan. Bekas Ketua Pergerakan Puteri ini diyakini mampu membawa pembaharuan. Manakan tidak, dalam keada­an UMNO ditolak di kebanyakan tempat, beliau masih lagi mampu mempertahankan kerusi Parlimen Parit Sulong yang disandangnya sejak 2008. Perjalanan politik Dr. Noraini sehingga ke tampuk hari ini juga bukan jatuh dari langit, sebaliknya melangkah satu-persatu anak tangga.

Aura kepemimpinan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu pastinya dapat memberi nafas baharu dalam Wanita yang memiliki kira-kira 1.4 juta ahli di seluruh negara. Untuk itu, beliau perlu mempunyai satu pasukan gerak kerja bagi menggembleng kekuatan parti bersama Pergerakan Pemuda dan Puteri.

Perkara inilah menjadi pilihan tugas pertama Dr. Noraini mahu lakukan iaitu merapatkan saf keluarga besar Wanita UMNO khususnya. Selepas itu, beliau yang pernah memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Pemba­ngunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bertekad mengete­ngahkan lebih ramai wanita yang layak menjadi pemimpin demi mengangkat kedudukan wanita di negara ini lebih tinggi serta boleh pergi lebih jauh.

“Wanita UMNO mempunyai ramai individu yang berpotensi untuk menjadi pemimpin yang berkualiti dan terbaik. Kita akan adakan satu program khas untuk memastikan usaha ini membuahkan hasil dalam masa yang kita sasarkan,” ujarnya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Apa yang penting, pengemudi-pengemudi nakhoda parti ini perlu ada cara untuk mendekatkan diri dengan rakyat khususnya golongan muda. Ini kerana golo­ngan inilah yang bertindak meng­hukum UMNO dan mengangkat Pakatan Harapan untuk mentadbir kerajaan.

Sebagai pemimpin baharu Wanita UMNO, Dr. Noraini beriltizam untuk menambah baik jentera Jalinan Rakyat yang merupakan satu-satunya jentera parti berstruktur dan sistematik dalam menjalankan tugas-tugas menghadapi pilihan raya sehingga dicemburui pihak lawan dan kawan.

Bagaimanapun, beliau sedar cabaran jentera Wanita UMNO dalam zaman digital hari ini amat berbeza dengan keadaan sebelumnya. Untuk itu, beliau bertekad memperlengkapkan jentera Jalinan Rakyat berkenaan dengan pengetahuan dan kemahiran teknologi. Perkara inilah menjadi cabaran utama masa kini untuk memerangi persepsi yang dicipta untuk memburukkan Barisan Nasional (BN) terutama di media-media sosial.

“Sebagai contoh, ramai pengundi bawah usia 40 tahun lazimnya menerima sesuatu berita yang disebar dan menetapkan persepsi mereka tanpa mempersoalkan kesahihannya terlebih dahulu. Wanita UMNO mesti mempunyai mekanisme untuk menangani perkara ini supaya rakyat dapat dibekalkan dengan maklumat yang benar agar mereka dapat membuat keputusan lebih tepat.

“Dengan sistem gerak kerja yang kita ada pada hari ini, ditambah dengan inisiatif-inisiatif baharu untuk lebih memperlengkapkan jentera wanita, Jalinan Rakyat Wanita UMNO akan terus jadi teras gerak kerja kepada UMNO dan BN,” katanya.

Pada hakikatnya, kekuatan Wanita UMNO tidak boleh di­sangkal. Justeru, pergerakan itu perlu diberi peranan lain yang lebih efektif bersama Pergerakan Puteri dalam membawa suara wanita. Kedua-dua sayap ini perlu menyediakan platform untuk golongan itu untuk lontaran idea yang lebih segar dan di luar kotak. Wanita dan Puteri boleh merancang program bersama, mewujudkan satu badan pemikir di antara keduanya, berkongsi maklumat dengan lebih efektif dan terbuka, serta banyak lagi.

“Beri masa kepada saya dan Ketua Puteri yang baharu, Datuk Zahida Zarik Khan untuk bertemu dan merencana ke hadapan. Kita merencana untuk kembali diterima dan disayangi rakyat,” janji wanita berusia 51 tahun itu.

UMNO tidak boleh lagi pandang belakang. Hayunan langkah tidak boleh lagi longlai dan terus meratapi kekalahan, tetapi bergeraklah secara larian maraton. Kembalikan kepercayaan rakyat semula kepada kemampuan UMNO untuk menjaga negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN