KLANG 2 Julai – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima penajaan hampir RM1.3 juta untuk Piala Sultan Selangor 2018 yang dijadual diadakan di Stadium Shah Alam pada 25 Ogos depan.
Baginda menerima cek sumbangan itu daripada 15 syarikat termasuk kerajaan Selangor dan syarikat berkaitan kerajaan negeri dalam satu majlis minum petang di Istana Alam Shah di sini.
Turut berangkat ke majlis berkenaan adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor yang baharu.
Hadir sama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pengerusi Piala Sultan Selangor 2018 Tan Sri Abdul Karim Munisar.
Kerajaan Selangor menerusi Perbendaharaan Negeri dan syarikat berkaitan kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor; Permodalan Negeri Selangor Berhad; Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Waste Management; Worldwide Holdings Berhad; dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menaja sebanyak RM689,000.
Sembilan lagi syarikat yang turut menghulurkan penajaan adalah Kingsley Seeds Foundation menyumbang RM100,000, manakala Syarikat Pengeluar Air Selangor Berhad (Splash); Taliworks Corporation Berhad; Eco World Development Group Berhad; SP Setia Berhad serta Everspring Land Sdn Bhd, Kumpulan Nirvana Berhad, Aiman Platinum Sdn Bhd dan Ampang Heights Holdings Sdn Bhd masing-masing menaja RM50,000.
Buat pertama kalinya, penganjuran perlawanan bola sepak yang masuk edisi ke-17 itu diberi penajaan sebuah kereta jenis Honda City berharga RM80,000 daripada syarikat Tanjung Balai untuk menjadi hadiah utama sesi cabutan bertuah.
Abdul Karim ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan berkata walaupun keadaan ekonomi semasa agak mencabar, namun pihaknya tetap menerima sokongan yang memberangsangkan daripada penaja untuk menjayakan penganjuran perlawanan berkenaan.
“Tahun lepas, kami hanya menang satu daripada tiga piala yang dipertandingkan dalam Piala Sultan Selangor. Kali ini, dengan kelebihan bermain di tempat sendiri, kami berharap pasukan kami menang ketiga-tiga perlawanan,” katanya.
Katanya, perlawanan bawah 16 tahun bagi ‘Singapore Selangor Schools Challenge Cup’ yang pertama kali dianjurkan tahun lepas di Singapura akan diteruskan lagi pada edisi kali ini memandangkan sambutan penyokong terutamanya daripada golongan remaja amat menggalakkan.
Abdul Karim berkata, bagi peminat bola sepak yang hadir, mereka berpeluang memenangi sebuah kereta Honda City menerusi pembelian tiket yang hanya berharga RM10 dan ia diharap dapat menyemarakkan lagi kehadiran penyokong untuk menonton ketiga-tiga perlawanan berkenaan.
Beliau berkata pihaknya akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa untuk tarikh permulaan penjualan tiket tersebut. – BERNAMA











