KUALA LUMPUR 2 Julai – Penutupan lorong kecemasan secara berkala akan dilakukan di kilometer (km) 9.6 hingga km 9.8 Lebuhraya Sungai Besi arah Kuchai Lama bermula lusa hingga 12 Julai ini berikutan projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).
MMC-Gamuda dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan itu akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu pukul 9.30 pagi hingga 4.30 petang dan 10 malam hingga 5 pagi.
“Penutupan tersebut dilakukan untuk menyediakan jalan keluar masuk pembinaan, pembersihan kawasan. penanaman cerucuk dan kerja-kerja berkaitan.
“Semasa penutupan, pengguna lebuh raya boleh menggunakan tiga lorong sedia ada menuju ke Kuchai Lama.
“Penutupan laluan sepanjang 1000 meter akan dikawal oleh pengawal bendera menggunakan kaedah ‘berhenti dan jalan’,” menurut kenyataan tersebut di sini hari ini.
Sementara itu, MMC-Gamuda memberitahu, lanjutan penutupan kecemasan secara berkala di susur keluar menghala ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara akan bermula lusa hingga 15 Julai ini.
Penutupan itu akan dilaksanakan pada pukul 9.30 pagi hingga 4.30 petang dan 10 malam hingga 5 pagi. -UTUSAN ONLINE











