PUTRAJAYA – Lelaki warga Malaysia berusia 41 tahun yang didakwa mengahwini kanak-kanak perempuan 11 tahun warga Thailand kini disiasat di bawah elemen antun atau ‘sexual grooming’ yang adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan menganggap pasangan berkenaan sebagai tidak berkahwin selagi tiada bukti dikemukakan.
Ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Bersama Kumpulan Sasar kementerian di sini hari ini, beliau berkata, lelaki berkenaan bertanggungjawab untuk membuktikan status perkahwinan yang sah kepada pihak berkuasa.
“Interaksi di antara lelaki dan kanak-kanak berkenaan adalah tertakluk kepada pelbagai undang-undang mengenai perlindungan kanak-kanak. Pada masa ini, penyiasatan terhadap kes ini masih berlangsung. Pegawai-pegawai saya sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan kementerian berkenaan untuk memperhalusi kes ini dengan lebih teliti,” katanya.
Berita perkahwinan ketiga lelaki itu dengan kanak-kanak perempuan 11 tahun berkenaan tular di media sosial pada Sabtu lepas menyebabkan Jabatan Kebajikan Masyarakat menyiasat perkara itu. – Bernama











