KUALA LUMPUR 2 Julai – Sepasang suami isteri yang baru pulang dari hospital terkejut apabila menemukan anak mereka dalam keadaan berlumuran darah di tempat letak kereta di Apartmen Desa Wangsa Keramat, Jalan Datuk Keramat Hujung, di sini awal pagi tadi.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, anak pertama daripada tiga beradik berusia enam tahun terbabit jatuh dari kediaman mereka di tingkat lima apartmen berkenaan.
Menurut sumber, ibu bapa mangsa keluar membawa anak bongsu mereka ke Hospital Tuanku Mizan, dekat sini untuk mendapatkan rawatan asma.
“Ibu mangsa merupakan anggota tentera berpangkat Koperal manakala bapanya merupakan seorang pemain bola sepak Liga FAM.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden Muhammad Najib Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Mangsa dipercayai telah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











