Bot karam, Ramli masih ingin ke laut - Utusan Malaysia

Bot karam, Ramli masih ingin ke laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN 2 Julai – Meskipun hampir meragut nyawa dan kehilangan bot serta kelengkapan menangkap ikan, Ramli Said, 62, masih ingin terus turun ke laut meneruskan pekerjaan sejak 40 tahun lalu yang menjadi sumber rezekinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sabtu lalu, bot gentian kaca bocor miliknya dan karam kira-kira 7 batu nautika dari perairan Kuala Dungun dan dia yang bersendirian terpaksa terapung di laut lebih lima jam dengan berpaut kepada sekeping penutup tong ikan.

“Saya berusaha untuk berenang agar tidak tersasar jauh tetapi sangat letih dalam keadaan ombak besar, mujurlah ternampak kelibat sebuah bot nelayan, lalu melaung minta tolong,” ujar bapa kepada 10 orang anak itu mengimbas kejadian yang dilalui pada pukul 7 pagi itu .

Dia menceritakan pengalaman paling menakutkanya itu ketika Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menemuinya di jeti Pengkalan Sungai Buaya hari ini dan menghulurkan sumbangan peribadi untuk meringankan beban yang ditanggung.

“Saya berharap ada pihak yang dapat bantu saya untuk mencari rezeki di laut semula kerana itu sahaja yang saya tahu lakukan untuk menyara keluarga “ katanya.

Sementara itu menurut Wan Hassan, pihaknya akan memaklumkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sura, Wan Hapandi Wan Nik untuk membantu mangsa membuat permohonan kepada pihak yang berwajib.

Wan Hassan turut menasihatkan nelayan supaya lebih berhati -hati ketika berada di laut dan mementingkan aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN