Menteri Industri Utama tumpu empat fokus terutama industri hiliran - Utusan Malaysia

Menteri Industri Utama tumpu empat fokus terutama industri hiliran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang baru dilantik menerajui kementerian itu berhasrat memberi penekanan kepada empat fokus utama terutama usaha memantapkan industri hiliran sektor komoditi bagi memenuhi keperluan semasa pasaran antarabangsa. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Teresa berkata, sehubungan itu kementerian akan memperbanyakkan produk-produk nilai tambah tinggi melalui kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk yang mempunyai nilai komersial.

“Ini dapat membantu meningkatkan kualiti dan standard produk-produk komoditi dan pada masa sama industri komoditi negara adalah mesra alam sekitar.

“Selain itu, usaha lain ialah kita mahu memelihara kebajikan rakyat yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti sektor komoditi seperti pekebun kecil, pengusaha ladang, pengilang dan pekerja industri komoditi,” katanya pada sidang akhbar pertama beliau selepas dilantik sebagai Menteri Industri Utama di sini hari ini.

Tugas Timbalan Menteri Industri Utama pula digalas oleh Shamsul Iskandar Md. Akin.

Menurut Teresa, beliau juga akan memberi penekanan kepada usaha meningkatkan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan melalui pendekatan mesra pelabur dan mesra perniagaan.

“Seterusnya, adalah usaha mengukuhkan pasaran sedia ada produk komoditi dan meneroka pasaran baharu.

Pendapatan eksport yang dijana oleh sektor komoditi meliputi produk sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan tembakau pada tahun 2017 adalah sebanyak RM140.3 bilion atau 15 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara,” katanya.

Jelas Teresa, dengan jumlah nilai dagangan sebanhak RM179.8 bilion, sektor komoditi masih lagi kekal sebagai net eksporter yang terbesar dengan merekodkan nilai imbangan dagangan sebanyak RM100.8 bilion berbanding sektor lain elektrik dan elektronik RM90.1 bilion manakala petroleum dan gas sebanyak RM36 bilion.

“Pada tahun 2017, sektor sawit adalah penyumbang utama kepada keseluruhan eksport produk komoditi iaitu RM77.8 bilion (55 peratus) diikuti sektor getah RM32.3 bilion (23 peratus), sektor kayu-kayan RM23.2 bilion (16.6 peratus) dan selebihnya sektor koko RM5.6 bilion (4 peratus), tembakau RM1.1 bilion (0.8 peratus) dan lada hitam RM308.9 juta (0.2 peratus).

“Manakala bagi tempoh Januari hingga April 2018, pendapatan eksport produk-produk komoditi adalah sebanyak RM43.5 bilion atau 13.5 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara iaitu penurunan 7.1 peratus berbanding RM46.8 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN