MELAKA 2 Julai – Sebuah restoran asam pedas di Taman Kota Laksamana di sini yang menjadi tumpuan pengunjung diarah tutup serta merta selama 14 hari bermula semalam selepas tular dalam laman sosial kerana terdapat ulat dalam makanan yang disajikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, arahan itu dibuat Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah selepas membuat pemeriksaan lanjut ke atas premis berkenaan semalam.
“Berikutan video yang tular itu, saya segera mengarahkan pihak pejabat kesihatan untuk membuat pemeriksaan dan hasilnya mendapati terdapat banyak aspek kebersihan yang tidak dipatuhi.
“Sehubungan itu, kita telah mengarahkan premis tersebut ditutup selama 14 hari kerana melanggar peraturan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selain mengeluarkan tiga Notis 32B berkait kesalahan di bawah peraturan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Melaka di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











