PUTRAJAYA – Pasukan Petugas Khas 1MDB telah membekukan 408 akaun bank milik individu, parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melibatkan dana RM1.1 bilion pada 26 dan 29 Jun 2018 lalu.
Dalam satu kenyataan, Pasukan Petugas Khas 1MDB berkata akaun yang dibekukan turut membabitkan 81 individu dan 55 syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB.
“Akaun-akaun tersebut dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dan salah guna dana 1MDB. Ia melibatkan hampir 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 dan September 2015.
“Pasukan Petugas Khas 1MDB kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti tahap pembabitan pihak-pihak terbabit. Siasatan dijalankan secara menyeluruh dengan berlaku adil kepada semua pihak yang terbabit,” kata pasukan itu.
Pasukan petugas itu diketuai bersama oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang kini Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador. – Bernama











