KUALA LUMPUR – Tiga lagi menteri akan dilantik bagi melengkapkan senarai penuh 29 Menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) selepas 13 menteri tambahan dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara di sini hari ini.
Pada 21 Mei lalu, 13 orang menteri yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri susulan kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu, masih ada tiga kekosongan untuk jawatan menteri yang akan dilantik dalam kalangan senator selepas mengangkat sumpah di Dewan Negara.
“Mereka perlu diangkat menjadi senator baru boleh angkat sumpah (jawatan menteri). Selagi tidak ada acara angkat sumpah menjadi senator maka selagi itu tidak boleh lantik sebagai menteri.
“Kita akan mempunyai 29 orang (menteri), sekarang ada 26 orang, jadi ada tiga orang lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan hari ini.
Pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengetuai kumpulan pertama mengangkat sumpah pada majlis istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara.
Istiadat berkenaan bermula kira-kira pukul 11 pagi disaksikan oleh Dr. Mahathir dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali. – K! ONLINE











