PUTRAJAYA 2 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang meneliti elemen antun seksual (sexual grooming) di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dalam kes perkahwinan budak perempuan berumur 11 tahun di Kelantan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, tujuan penelitian itu untuk melindungi kebajikan kanak-kanak berkenaan memandangkan kerajaan komited untuk membanteras isu perkahwinan kanak-kanak pada masa akan datang.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, meskipun kanak-kanak perempuan itu bukan warganegara Malaysia namun undang-undang sedia ada sah melarang perkahwinan tersebut.
“Berita ini telah membangkitkan kemarahan dan mengundang pelbagai reaksi negatif dalam kalangan rakyat Malaysia, justeru saya telah mengarahkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk segera menyiasat dengan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.
Kisah perkahwinan budak perempuan berusia 11 tahun dengan seorang lelaki 41 tahun itu telah mengundang reaksi pelbagai pihak selepas gambar kanak-kanak perempuan itu mula ditularkan. – UTUSAN ONLINE











