PUTRAJAYA – Tiada bukti atau rekod yang mengesahkan pendaftaran perkahwinan budak perempuan berusia 11 tahun dengan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun di Kelantan seperti mana yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) tidak mempunyai rekod pendaftaran perkahwinan tersebut.
“Berdasarkan laporan media dan kenyataan oleh isteri kedua lelaki berkenaan, dipercayai pernikahan itu telah dilaksanakan di Golok, Thailand.
“Bagaimanapun, sehingga hari ini pihak berkuasa masih belum mendapat bukti bahawa pernikahan itu telah diadakan di Golok seperti didakwa,”katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak kementerian akan memperhalusi kes itu dengan lebih teliti termasuk meneliti elemen antun (sexual grooming) yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, Wan Azizah telah mengadakan satu mesyuarat yang turut dihadiri wakil dari Jabatan Peguam Negara (AGC), JAHEIK, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Badan Peguam Malaysia serta para pegawai kanan agensi berkaitan. – K! ONLINE











