TAIPING 2 Julai – Seorang lelaki warga Singapura parah setelah diserang dan ditetak dengan parang oleh seorang lelaki di Taman Kami C, Aulong di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun mengalami kecederaan parah dengan tapak tangan kanannya hampir putus dan beberapa tetakan di bahagian kaki dan badan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, kejadian tersebut berlaku di sebuah rumah yang dijadikan tokong milik seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun.
Katanya, semasa pihak polis sampai di lokasi kejadian, mangsa yang parah telah dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan kecemasan manakala suspek pula berada bersama warga emas tersebut di dalam bilik tidur utama rumah berkenaan.
“Suspek berusia 33 tahun mengunci pintu bilik dan mengacukan parang di leher mangsa. Rundingan bagi memujuk suspek diadakan supaya dia melepaskan dan tidak mencederakan mangsa namun lelaki terbabit enggan.
“Semasa rundingan tersebut, suspek tidak membuat apa-apa tuntutan dan tidak memberi sebarang sebab ketika ditanya tentang punca dia menahan mangsa,” katanya.
Menurut Mohamad, suspek hanya bersetuju melepaskan mangsa setelah dipujuk pihak polis pada pukul 8.30 pagi dan lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN ONLINE











