IPOH – Penubuhan kumpulan WhatsApp ‘Komuniti Cegah Denggi’ antara langkah proaktif yang telah membantu mengurangkan kadar kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tahun ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, 30 kumpulan WhatsApp yang diwujudkan itu melibatkan 300 anggota antaranya terdiri daripada penduduk setempat, wakil badan sukarela dan rukun tetangga.
“Kumpulan WhatsApp yang diwujudkan oleh Jabatan Kesihatan MBI dan Pejabat Kesihatan Kinta itu dapat membantu mengurangkan kejadian kes demam denggi dan membantu menjaga kebersihan persekitaran MBI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi langkah itu, katanya kes demam denggi di Ipoh mencatatkan penurunan iaitu 223 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 23 Jun lepas berbanding 2,043 kes dengan satu kematian yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas.
Zamri berkata, Pelan Tindakan Pencegahan dan Kawalan Wabak Denggi dengan slogan ‘Denggi Adalah Urusan Semua Orang’ yang melibatkan semua anggota MBI juga langkah untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes secara berkala dan berterusan. – Bernama











