BUKIT MERTAJAM 2 Julai – Polis Seberang Perai Tengah (SPT) merampas tiga pokok ganja yang ditanam dalam dua baldi selepas menahan lima lelaki di belakang reban ayam di kawasan Tingkat Perusahaan 1, Perai dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah SPT Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pihaknya menahan lima lelaki berusia antara 36 hingga 49 tahun itu sebelum menemukan satu paket lutsinar berisi daun-daun kering disyaki ganja seberat 3.03 gram selain peralatan menghisap dadah di atas meja di kawasan reban itu.
Menurutnya, polis yang membuat pemeriksaan di tepi reban itu kemudiannya menemukan satu baldi berisi tanah dan sebatang pokok ganja yang dianggarkan setinggi 208 sentimeter (sm).
Selain itu terdapat satu lagi baldi berisi dua batang pokok ganja yang dianggarkan setinggi 92 dan 77 sm di kawasan sama.
“Kesemua lelaki terbabit tidak mengaku memiliki pokok ganja itu namun salah seorang suspek mengaku paket ganja adalah miliknya dan dibeli daripada seorang lelaki lain.
“Kesemua mereka kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 6B, 6 dan 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











