Tiga lagi menteri lantikan senator akan dilantik - Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

Tiga lagi menteri lantikan senator akan dilantik – Dr. Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Julai – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiga lagi menteri akan dilantik menjadikan keseluruhan barisan Kabinetnya kepada 29 orang menteri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelantikan tiga  menteri itu hanya boleh dibuat selepas mereka mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara, katanya.

“Selagi kita tidak ada acara mengangkat sumpah menjadi senator maka selagi itulah tidak boleh lantik sebagai menteri.

“Kita akan mempunyai 29 orang (menteri), sekarang ada 26 orang, jadi ada tiga orang lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara di sini, hari ini.

Seramai 13 menteri dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Sebelum ini, 13 orang menteri yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri di bawah pentadbiran Dr Mahathir pada 21 Mei lepas susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 akan bersidang mulai 16 Julai ini sehingga 16 Ogos depan.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan menteri dan timbalan menteri yang mengangkat sumpah hari ini bagi memberi penerangan berhubung tanggungjawab dan peranan yang harus dimainkan mereka.

Dalam pada itu, ditanya tentang pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu bagi menggantikan Tun Md. Raus Sharif, perdana menteri berkata ia akan diumumkan selepas Md Raus menamatkan

perkhidmatan pada hujung bulan ini.

Kerajaan sudah mempunyai calon untuk mengisi jawatan itu, namun ia tidak boleh diumumkan pada masa ini, katanya.

“Dia (Md Raus) bercuti pada masa ini, pada hujung bulan ini dia akan bersara secara pilihan dan selepas itu kita akan umumkan siapa pengganti,” katanya.-BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN