KUALA LUMPUR – Pernah bersama UMNO ketika era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail kini sekali lagi bersama Dr. Mahathir dalam Pakatan Harapan, sekali gus diberi kepercayaan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Saifuddin Nasution, 55, pernah menjawat jawatan dalam Pemuda UMNO sebelum mula menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 1999 sebagai Naib Pengerusi PKR Bahagian Padang Serai serta Anggota Majlis Tertinggi parti itu.
Ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada November 1999, Saifuddin bertanding atas tiket PKR di kerusi Parlimen Padang Serai, namun tewas kepada Lim Bee Kau (BN) sebelum tewas sekali lagi pada tangan Lim dalam PRU11.
Beliau juga tewas ketika menentang Syed Razak Syed Zain (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan pada PRU-10.
Bagaimanapun pada PRU-12, beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Machang, Kelantan atas tiket PKR menewaskan Sazmi Miah (BN-UMNO). – Bernama











