Lima remaja terlibat curi motosikal ditahan - Utusan Malaysia

Lima remaja terlibat curi motosikal ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT – Lima remaja berusia 14 hingga 16 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal di Taman Bintang Pantai Remis di sini ditahan polis Jumaat lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim berkata, suspek pertama ditahan di tepi jalan besar,Taman Bintang Pantai Remis pada pukul 6 petang. 

“Susulan tangkapan itu, polis berjaya menahan empat rakan suspek di kawasan yang sama kira-kira setengah jam kemudian.  

“Siasatan mendapati suspek telah mencuri motosikal di kawasan Pantai Remis dan meleraikan komponen motosikal tersebut sebelum menjualnya dengan harga yang murah di sekitar Pantai Remis selain untuk kegunaan sendiri,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini hari ini. 

Tambah Boo Khim, rangka motosikal yang dicuri dibuang di dalam kolam ikan di belakang rumah salah seorang suspek. 

“Polis turut menemui dua rangka motosikal yang telah dileraikan di dalam kolam itu. 

“Kesemua suspek aktif mencuri motosikal sejak tiga bulan lalu dan mereka juga sudah tidak bersekolah,” katanya. 

Menurutnya, semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka kini ditahan reman selama empat hari bermula kelmarin sehingga esok. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN