BUKIT MERTAJAM 2 Julai – Dua lelaki terbunuh selepas motosikal ditunggangi mereka merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan akibat rosak di Kilometer 149 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara berhampiran Bukit Minyak di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 itu, mangsa Ahmad Syarbini Anas Dahlan, 21, bersama rakannya Mohd. Khairi Mohd. Nor, 38, yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketika kejadian lori yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun dari arah Bukit Tambun menghala ke Juru sebelum mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan.
“Motosikal yang ditunggang Ahmad Syarbini Anas yang berasal dari Tasek Gelugor tidak sempat mengelak sebelum melanggar tepat pada bahagian belakang lori mengakibatkan dia dan Mohd. Khairi terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











