KANGAR 2 Julai – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan majlis penyerahan simbolik kunci Rumah Nur Kasih Perlis Jumaat lalu.
Majlis tersebut diadakan di Masjid Saidina Omar Al Khattab, Kg Guar Syed Alwi, Kangar bersempena Program DiRaja ‘Hijrah Minda kali ke 16 bagi Tahun 2018’ yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Rumah Nur Kasih adalah sebuah pusat pendidikan dan latihan kemahiran di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis yang diuruskan oleh Persatuan Down Sindrom Negeri ini.
Menerima serahan kunci berkenaan adalah Penolong Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Mohd Syamil Shahidan.
Yang turut bersama hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Hashim Murad, mewakili Persatuan Sindrom Down Negeri Perlis .
MAIPs menyakurkan sumbangan bernilai RM103,345.84 bagi kerja-kerja membaik pulih Rumah Nur Kasih tersebut yang terletak di Jalan Sekolah Derma, Kangar.
Menurut Mohd Nazim anggota masyarakat yang berhasrat memberikan sumbangan untuk Rumah Nur Kasih Perlis tersebut boleh berbuat demikian melalui akaun Persatuan Sindrom Down Negeri Perlis 0901-0001899-71-2 (Bank Muamalat).











