KUALA TERENGGANU – Seramai sembilan warga asing yang bekerja sebagai buruh di tapak binaan jambatan angkat (drawbridge) Kuala Terengganu disahkan mengalami gejala demam denggi di antara 21 Jun hingga Khamis lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata, dua daripada sembilan pekerja warga Bangladesh itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah manakala tujuh lagi hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Kesemua pekerja asing yang berusia lingkungan 22 hingga 49 tahun itu mengalami gejala demam serta sakit kepala, sendi dan belakang mata.
“Tapak projek jambatan angkat itu dikenal pasti sebagai lokaliti penularan wabak keempat di negeri Terengganu tahun ini melibatkan buruh binaan yang tinggal di rumah kongsi di sekitar kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohammad, pasukan perubatan kesihatan turut memeriksa tapak binaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Mayang Mall yang berada kira-kira 200 meter dari tapak projek jambatan angkat.
Jelas Mohammad, keadaan kebersihan di kawasan persekitaran rumah kongsi dua dari tiga tapak binaan itu kurang memuaskan dengan penemuan bekas-bekas pembiakan nyamuk Aedes.
“Kita turut menjalankan ujian saringan terhadap 301 kakitangan dan buruh yang bekerja di tapak projek jambatan angkat dan MBKT bagi mengesan kes baharu,” ujarnya. – K! ONLINE











