KUALA LANGAT 2 Julai – Empat saksi untuk kes bunuh seorang lelaki di Jalan Permata 18, Taman Yayasan, Sungai Jarom di sini dua tahun lalu diminta hadir untuk perbicaraan kes terbabit di Mahkamah Klang pada 20 Julai ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritenden Azizan Tukiman berkata, mereka ialah Soo Bee Kim, 20, Chong Boon Leong, 20, Yeow Sze Tiong, 30 dan Gan Chew Wan.
“Dua suspek telah didakwa di Mahkamah Klang mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh ekoran kes terbabit tetapi perbicaraan terpaksa ditangguhkan kerana keempat-empat saksi itu tidak hadir.
“Perbincangan akan disambung semula pada 20 Julai ini dan saya mohon keempat-empat saksi itu dapat hadir ke mahkamah untuk beri keterangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini hari ini.
Azizan memberitahu, mereka yang mempunyai maklumat berhubung keempat-empat saksi itu boleh menyalurkan maklumat kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Kuala Langat, Asisten Supritendan Damie Jaimin di talian 012-8359039. – UTUSAN ONLINE











