KUALA TERENGGANU 2 Julai – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berharap kewujudan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) sejak Mei tahun lalu dapat memastikan kedaulatan dan hak negeri ini sebagai pengeluar minyak dan gas utama negara dapat dilindungi sewajarnya.
Menurut baginda, penubuhan TPC bagi kepentingan rakyat dan negeri termasuk peningkatan peluang pekerjaan dalam industri berkaitan dapat dijadikan sebagai platform oleh kerajaan negeri dalam menangani urusan berkaitan royalti dan tuntutan hak Telaga Minyak Bertam.
Selain itu, baginda turut berharap penubuhan Jawatankuasa Hasil Negeri pula turut berupaya meningkatkan pendapatan hasil negeri sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada royalti minyak dan gas semata-mata yang menyusut sekitar 40 peratus setiap tahun ekoran ketidaktentuan harga di pasaran dunia bermula pada tahun 2016.
“ Oleh yang demikian, beta berharap jawatankuasa tersebut membuat kajian dan mengambil langkah-langkah agresif dan inovatif dalam menambah dan meningkatkan kutipan hasil negeri seperti kajian kadar free urusniaga tanah, cukai galian dan batuan, caj air mentah dan caj khusus bagi penginapan di hotel.
“ Jawatankuasa juga boleh mengkaji mekanisme yang telah diguna pakai di negeri-negeri lain untuk dilaksanakan mengikut kesesuaian ke arah meningkatkan hasil negeri di samping melaksanakan dasar berbelanja secara berhemah,” ujar baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Baginda yang turut menyentuh soal kos sara hidup, meminta kerajaan negeri merangka lebih banyak program dan aktiviti bagi mengurangkan bebanan rakyat disamping mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Beta percaya hubungan dua hala yang rapat dapat memberi banyak manfaat kepada kerajaan negeri dalam memacu pembangunan,” ujar baginda. – UTUSAN ONLINE











