KUALA LUMPUR – Individu bernama Teresa Kok Suh Sim yang dilantik sebagai Menteri Industri Utama tidak perlu diperkenalkan kepada umum, apatah lagi beliau boleh dikatakan individu paling berpengaruh di kawasan Parlimen Seputeh.
Namanya cukup sinonim di kawasan itu dengan kejayaan mengekalkan pengaruhnya selepas disahkan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei lepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Chan Quin Er dengan majoriti besar sebanyak 56,059 undi.
Teresa yang dilahirkan pada 31 Mac 1964 mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuen Cheng di sini kemudian ke Sekolah Tinggi Chung Hwa di Seremban, Negeri Sembilan.
Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Sains Malaysia (USM) diikuti ijazah sarjana keduanya dalam jurusan sains politik dan Ijazah Sarjana Falsafah di Universiti Malaya (UM).
Dilahirkan di Kuala Lumpur, beliau mula melibatkan diri dalam arena politik pada tahun 1995 atas tiket DAP dengan bertanding di kerusi Parlimen Ipoh Barat pada waktu itu namun ditewaskan calon MCA. – Bernama











