PETALING JAYA 2 Julai – Seramai 72 pelajar sekolah menengah dan guru pengiring dari dalam dan luar negara menyertai Kem Kepimpinan Belia Antarabangsa PJ (PJIYLC) anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bermula hari ini.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, program yang julung kalinya diadakan itu melibatkan empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Jepun dan China.
“Penganjuran program ini antara lain bertujuan sebagai usaha mempromosi dan memperkenalkan bandar raya Petaling Jaya selain membentuk dan mencungkil bakat kepimpinan dalam kalangan peserta. Pelbagai pengisian dan aktiviti telah dirancang sepanjang tempoh program diadakan selama lima hari itu.
“Ini termasuk jelajah bandar menggunakan perkhidmatan awam, larian malam, bengkel kepimpinan dan kebudayaan, serta merentas hutan,” katanya selepas merasmikan PJIYLC di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











