KANGAR 2 Julai – Bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang meninggalkan parti didesak melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah memandangkan kemenangannya itu adalah atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, langkah yang sama juga perlu diambil oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali yang telah keluar UMNO lebih awal kononnya telah hilang kepercayaan kepada parti.
Katanya, kesemua mereka dilihat tidak mempunyai pendirian dan jati diri kerana telah mengkhianati perjuangan UMNO iaitu parti yang telah banyak berjasa kepada mereka selama ini.
“Saya kesal dan terkejut selepas mengetahui bekas Ketua Puteri UMNO mengambil keputusan keluar daripada parti. Saya tidak sangka beliau (Mas Ermieyati) sanggup meninggalkan UMNO di saat parti sedang berusaha untuk kembali bangkit.
“Tindakan Mas Ermieyati itu sangat mengecewakan. Saya cadangkan dia segera meletak jawatan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil diadakan.
“Dia diberi mandat oleh UMNO, sokongan dan perbelanjaan juga ditanggung oleh parti. Sekiranya dia mempunyai jati diri, segeralah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Mas Ermieyati mengumumkan keluar daripada UMNO dengan menjadi Ahli Parlimen Bebas bermula semalam.
Mas Ermieyati dalam satu kenyataan berkata, tindakannya itu dibuat seikhlas hati tanpa ada mana-mana paksaan atau ancaman selain mahu menjadi pembangkang yang menegur kerajaan tanpa terikat dengan etika ahli Parlimen yang mewakili sesebuah parti.
Dalam perkembangan lain, Zahidi berkata, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada para perwakilan yang memilihnya sebagai salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam pemilihan parti Sabtu lalu.
Katanya, antara agenda utama beliau selepas terpilih menjawat jawatan tersebut adalah untuk menyatupadukan seluruh ahli UMNO selepas mereka mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya baru-baru ini.
“Kita perlu mengukuhkan kembali parti dan meletakkan harapan kita mampu menang kembali dalam pilihan raya akan datang. Kita perlu sedar, 48 peratus orang Melayu masih menyokong UMNO dan rakyat yakin hanya UMNO mampu membela nasib mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE











