KUALA LANGAT – Polis sedang mengesan empat individu bagi menghadiri satu perbicaraan di Mahkamah Tinggi Klang pada 20 Julai depan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, keempat-empat individu itu perlu menjadi saksi pendakwaan awam bagi perbicaraan kes bunuh.
“Individu tersebut ialah Soo Bee Kim, 20, Chong Boon Leong, 20, Yeow Sze Tiong, 30 dan Gan Chew Wan.
“Ini berikutan keempat-empat saksi ini tidak menghadirkan diri sejak perbicaraan kes sebelum ini yang ditangguhkan sehingga 20 Julai depan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini sebentar tadi.
Menurut beliau, dalam kejadian 26 April dua tahun lalu, mangsa seorang lelaki Cina berusia 40 tahun ditemui mati dibunuh di sebuah rumah di Jalan Permata 18, Taman Yayasan, Sungai Jarom.
Ujarnya, susulan kejadian itu dua suspek telah ditangkap dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, mereka yang mempunyai maklumat berhubung keempat-empat saksi itu boleh menyalurkan maklumat kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah Kuala Langat, Asisten Supritendan Damie Jaimilin di talian 012-8359039,” jelasnya. – K! ONLINE











