KUALA LANGAT – Seorang suspek yang menikam ibunya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung RTB Bukit Canggang, di sini Jumaat lalu dipercayai mengalami kemurungan dalam pelajaran.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan mendapati suspek sebelum ini gagal dalam pembelajarannya di sekolah tahfiz di Bukit Changgang selama empat tahun dari tingkatan satu hingga empat.
Katanya, suspek kemudiannya bertindak berhenti belajar sebelum mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara persendirian.
“Bagaimanapun, suspek gagal dalam SPM tersebut dan menjadi semakin murung sehingga tidak bercakap dalam rumah.
“Kemurungan suspek berkemungkinan turut diburukkan dengan kejayaan dicapai oleh adik-beradiknya lain yang mempunyai kerjaya baik, belajar di universiti di Indonesia serta bersekolah di asrama penuh,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini sebentar tadi.
Beliau menambah, suspek akan dihantar ke hospital psikitari dalam masa terdekat untuk menilai tahap kesihatan mentalnya.
Dalam perkembangan sama, Azizan menegaskan sebelum kejadian bunuh itu suspek dikatakan berang selepas ditinggalkan bapanya untuk Solat Jumaat di masjid dengan rumah dikunci oleh mangsa.
“Ibu suspek yang juga mangsa kemudiannya menyuruh anaknya itu bersolat di rumah sahaja.
“Mangsa kemudiannya dalam keadaan tidak disedarinya telah mencapai pisau sebelum menikam ibu sebanyak tiga kali pada bahagian kepala dan dada,” jelasnya. – K! ONLINE











