Ibu bapa sedia disiasat - Utusan Malaysia

Ibu bapa sedia disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 1 Julai – Keluarga kanak-kanak berusia 11 tahun yang bernikah dengan peraih getah yang menjadi tular di laman sosial sejak kelmarin sedia disiasat oleh mana-mana pihak termasuk bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah bapa kanak-kanak tersebut, Madroseh Ramadsa, 49, menegaskan dia dan isteri, Aminah Hitam, 47, sama sekali tidak ‘menjual’ anak yang mesra dengan panggilan Ayu kepada lelaki yang banyak membantu mereka sejak merantau dari Pattani, selatan Thailand ke sini untuk menoreh getah.

Katanya, tindakan mereka mengizinkan perkahwinan tersebut adalah untuk menghalalkan hubungan antara anaknya dengan menantu baharu mereka, Che Abdul Karim Che Hamid, 41.

“Saya kenal rapat dengan menantu sejak tinggal di sini 20 tahun lalu. Kami membawa Ayu ke sini sejak dia berusia sebulan lagi kerana kami mencari rezeki menoreh getah di sini.

“Jika kami sekeluarga sakit atau susah menantu kami sentiasa ada membantu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Madroseh berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu tahu membaca dan fasih berbahasa Melayu kerana telah membesar serta sempat belajar di prasekolah di kampung itu selama dua tahun.

Sementara itu, Ayu berkata, dia meneruskan kehidupan seperti biasa setelah mendapat pelbagai kejian dan hinaan daripada banyak pihak terutama netizen.

Ayu yang lahir di Pattani, selatan Thailand berkata, hinaan itu bukan saja di laman sosial Facebook, bahkan ada yang tidak berpuas hati sehingga sanggup menelefon dan menghantar kiriman WhatsApp berunsur ugutan.

“Saya meneruskan hidup se­perti biasa biarpun kisah kami sudah gempar satu Malaysia.

“Saya masih lagi pergi keluar mengaji al-Quran, bermain de­ngan teman sepermainan dan ke kenduri kahwin,” katanya.

Kisah perkahwinan mereka berdua mendapat perhatian banyak pihak selepas didedahkan oleh isteri kedua Che Karim dalam laman facebooknya kelmarin.

Malah perkahwinan pada 18 Jun lalu di selatan Thailand itu turut mendapat reaksi Wan Azizah dan pihak berkuasa di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN