KUALA LUMPUR 1 Julai – Sunway Lagoon kekal optimistik bagi menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia termasuk China, menerusi tawaran menarik serta pelbagai siri pemasaran yang dijalankan.
Pengurus Besar Sunway Lagoon, Sean Choo berkata, prospek bagi taman tema terkemuka itu dilihat amat memberangsangkan selepas diiktiraf sebagai tarikan utama global oleh TripAdvisor dan Persatuan Taman Hiburan dan Tarikan Antarabangsa (IAAPA).
Selain itu katanya, Sunway Lagoon juga menduduki tempat ke-13 dalam senarai 20 taman tema air terkemuka dunia oleh Persatuan Hiburan Bertema (TEA).
“Ini merupakan satu penghormatan kepada pihak kami untuk menerima anugerah-anugerah ini, terutamanya anugerah Lokasi Luar Negara Paling Mesra Keluarga daripada Ctrip China Traveler’s Top Spot 2017.
“Malah, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, data pelawat kami telah menunjukkan aliran yang ketara dan semakin meningkat tahun ke tahun daripada pelancong dari China, menunjukkan bahawa Sunway Lagoon menjadi semakin popular di kalangan pelancong China dan anugerah Ctrip sudah pasti merupakan bukti kepada usaha kami dalam menarik lebih ramai pelancong dari republik itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ctrip.com International merupakan pembekal terkemuka bagi perkhidmatan pelancongan termasuk tempahan penginapan, pengangkutan, tiket, pakej lawatan dan pengurusan perjalanan. Ctrip kini mempunyai lebih 30,000 kakitangan di cawangan yang terletak di bandar-bandar utama di tanah besar China, Hong Kong, Taiwan, Singapura, Korea, Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.
Choo berkata, mengambil kira peningkatan dalam transaksi atas talian dan tempahan daripada pelancong China, Sunway Lagoon juga telah melatih kakitangan pemasarannya dengan memberi tumpuan kepada penembusan digital melalui platform media sosial dan kandungan yang menarik.
“Kami percaya peningkatan pelawat dari China ke Sunway Lagoon adalah hasil langsung daripada usaha kami untuk menarik lebih ramai pelancong dari rantau ini, yang telah menunjukkan potensi yang besar dalam tahun-tahun kebelakangan ini.











