Rakyat Mexico keluar mengundi - Utusan Malaysia

Rakyat Mexico keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR RAYA MEXICO – Rakyat Mexico mengundi Presiden baharu semalam dalam pilihan raya yang diramalkan memindahkan kuasa kepada calon nasionalis yang berisiko meningkatkan lagi jurang perbezaan dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bekas datuk bandar Bandar Raya Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador mendahului tinjauan pendapat sepanjang kempen pilihan raya berkenaan dan dijangka menjadi Presiden berhaluan kiri pertama yang menumbangkan parti pemerintah, Parti Revolusi Institusi (PRI) dalam tempoh beberapa dekad.

Berada di tempat kedua dalam pilihan raya Presiden Mexico pada 2006 dan 2012, Lopez Obrador menonjolkan dirinya sebagai satu-satunya pemimpin yang berupaya membersihkan politik Mexico daripada rasuah, menurunkan kadar tinggi jenayah dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Presiden baharu Mexico memerlukan seorang yang bermoral dan mempunyai kuasa politik supaya beliau layak meminta semua orang mengamalkan integriti dalam tingkah laku mereka dan menjadikan kejujuran sebagai keutamaan dalam kehidupan,” kata Lopez Obrador pada kempen terakhirnya di sebuah stadium bola sepak di sini Rabu lepas.

Undang-undang Mexico melarang Presiden sedia ada, Enrique Pena Nieto daripada bertanding semula, namun, popularitinya merosot selepas namanya tercemar susulan dakwaan penyelewengan melibatkan pemimpin-pemimpin kanan PRI.

“Marilah berharap supaya Mexico berubah,” kata Oswaldo Angeles, 20, yang merupakan penyokong Lopez Obrador dari kubu kuat PRI di bandar Atlacomulco, 55 kilometer dari sini.

Lopez Obrador, 64, ditentang oleh bekas menteri kewangan Mexico, Jose Antonio Meade dan bekas pemimpin parti berhaluan kanan, Ricardo Anaya dalam pilihan raya kali ini. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN