KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyokong penuh pendirian Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berhubung penempatan semula enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 10 SJKC baharu, kata Setiausaha Agungnya Datuk Dr. Hasan Mad.
MPM akan menghormati pendirian itu kerana menurutnya, “Kementerian Pendidikan dan menterinya berhak bertindak atas kepentingan nasional, bukannya melawan kepentingan segelintir pihak yang cuba mempolitikkan agenda pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, pada 24 Januari 2018, MPM menerusi Panel Perundingan Pendidikan Nasional serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan lain mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan kerajaan melakukan penempatan semula enam SJKC terlibat sebagai mempunyai kepentingan tertentu atau mempunyai motif berbaur politik semasa.
Menurut Hasan, keputusan MPM menyokong tindakan Maszlee atas alasan tindakan menteri berkenaan membidas tohmahan seorang pemimpin MCA adalah berasas dan munasabah.
Sebelum ini, menurut satu laporan berita, seorang pemimpin MCA cuba mempolitikkan isu pembinaan SJKC ini dengan menyatakan “jika kerajaan Pakatan mahu menghapuskan MCA, terdapat beribu cara lain lagi. Bagaimanapun, tolong lepaskan SJKC daripada penganiayaan politik yang tidak perlu”.
Hasan turut berharap agar tiada sesiapa lagi cuba memburukkan keadaan dan memberi peluang kepada kementerian berkenaan melaksanakan apa yang terbaik untuk pemantapan integrasi nasional yang mana semua pihak bersatu hati dalam menyumbang buah fikiran. – Bernama











