Mohd. Aizuddin, Nik Izani nafi mahu lepas tangan - Utusan Malaysia

Mohd. Aizuddin, Nik Izani nafi mahu lepas tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 31 Julai – Dua bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) iaitu Datuk Mohd. Aizuddin Mohd. Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim yang meletak jawatan baru-baru ini, menyangkal dakwaan kononnya mereka mahu lepas tangan ketika pasukan Kelantan sedang menghadapi masalah meruncing.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Mohd. Aizuddin dan Nik Izani berkata, mereka kesal Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan sanggup mengeluarkan kenyataan bahawa mereka berdua sengaja mahu lari daripada tanggungjawab.

Menurut Mohd. Aizuddin dan Nik Izani, sejak 17 September 2017 iaitu ketika pertama kali diberi amanah oleh Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) untuk menerajui Kafa, mereka hanya dipanggil untuk mesyuarat exco sebanyak tiga kali sahaja.

“Bagaimana beliau boleh menuduh kami lari dari tanggungjawab sedangkan kami tidak diberi tanggungjawab dan tugas secara jelas untuk memainkan peranan membantu pengurusan ke arah pembentukan pasukan yang mantap.

“Semua keputusan dibuat secara solo (bersendirian) tanpa membuat keputusan secara konsesus. Paling menyedihkan, exco dilihat sebagai musuh dalam selimut dengan menganggap kami semua tidak boleh membantu Kafa.

“Sikap Presiden yang tidak mempedulikan kewujudan kami dan semua exco bermula dari awal musim lagi ketika membuat perancangan terutama melibatkan soal kewangan tanpa pengetahuan kami,” kata kenyataan itu, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, soal kewangan dan tajaan tidak dibawa ke mesyuarat termasuk tajaan serta geran tahunan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diperoleh dan jumlah dana yang sepatutnya perlu dibelanjakan pada musim ini, sekali gus menyebabkan ada exco yang mendahulukan duit menggunakan poket sendiri demi kebajikan pemain.

Katanya, semua laporan yang tidak lengkap itu hanya dibentangkan pada mesyuarat terakhir iaitu ketika pengurusan dan pasukan berada di tahap yang meruncing.

“Sebagai contoh, kami dimaklumkan perbelanjaan pasukan sebanyak RM4 juta tetapi perincian kewangan tidak dibentangkan secara lengkap dan telus kepada exco.

“Kemuncak krisis pengurusan adalah apabila beliau (Bibi Ramjani) membuat keputusan sendiri untuk melantik Fajer Ibrahim sebagai Ketua Jurulatih tanpa pengetahuan kami serta exco dan seterusnya memberi kepercayaan penuh kepada Fajer dalam membuat semua keputusan kecuali kewangan.

“Ini sehinggakan Fajer berani masuk campur urusan pentadbiran pengurusan. Ketika itu juga kes pemain berpengalaman seperti Piya, Dong, Gomez, Farhan, Taj yang digantung tidak bertali menjadi perbualan dan isu hangat dalam kalangan exco kerana keputusan dibuat tanpa pengetahuan exco,” katanya.

Menurut mereka, kemelut melanda Kafa amat memalukan sehingga mendatangkan kerugian sekiranya FAM dan FIFA mengambil tindakan.

“Justeru, sebagai tokoh korporat dalam dunia perniagaan, kami bersikap profesional dan memerlukan perancangan untuk duduk berbincang bersama dengan semua exco bagi memastikan kejayaan sesebuah pasukan. Dalam mesyuarat terakhir, kami bersetuju membantu Presiden mencari dana kewangan bagi persiapan pasukan musim depan.

“Namun, hari demi hari Presiden menjadikan Kafa seperti hak milik beliau sendiri sehingga membuatkan kami tawar hati untuk berada di kerusi Naib Presiden kerana tidak mahu mengkhianti amanah PBJ dan peminat The Red Warriors (TRW),” katanya.

Kelmarin, Kelantan yang tersingkir daripada Liga Super menerima tamparan hebat apabila dua Naib Presiden Kafa termasuk Bendahari menghantar surat perletakan jawatan ketika persatuan tersebut berada dalam masalah.

Bibi Ramjani dilaporkan berkata, tindakan dua pemimpin tersebut amat tidak wajar dilakukan dan seolah-olah mahu lari daripada tanggungjawab memandangkan badan induk bola sepak Kelantan itu sedang berdepan dengan pelbagai masalah ketika ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×