GUA MUSANG – Suasana kecoh berlaku hampir enam jam di kawasan sekatan Orang Asli Kampung Kaleg, Pos Tohoi di sini apabila 30 penduduk Orang Asli menghalang sekumpulan pekerja yang ingin masuk ke ladang durian Musang King dengan melalui laluan itu kelmarin.
Orang Asli itu bertindak agresif apabila tidak mahu membuka sekatan sehingga ada antara mereka yang sanggup ‘tidur’ di atas jalan serta rela dilenyek jentera pihak peladang.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along berkata, kejadian itu berlaku pukul 9 pagi apabila sekumpulan pekerja yang menaiki beberapa kenderaan pacuan empat roda dan jentera ingin memasuki ladang durian seluas kira-kira 400 hektar di Pos Simpor.
“Penduduk tidak membenarkan mereka masuk selepas melihat jentera. Berlaku pertengkaran antara kedua-dua pihak sehingga pukul 3 petang apabila Orang Asli tidak mahu berganjak.
“Bagaimanapun, pekerja terbabit terpaksa mengalah dan berpatah balik keluar dari kawasan sekatan,” ceritanya ketika dihubungi semalam.











