KEMENANGAN 3-2 skuad hoki wanita negara ke atas Akademi Sukan Queensland (QAS) di Pusat Hoki Brisbane semalam berjaya menutup kempen aksi persahabatan di bumi Australia dengan mengekalkan rekod tanpa kalah.
Malaysian Tigress, No. 22 dunia, berjaya melakar tiga kemenangan dengan keputusan 3-2, 2-1 dan 3-1 serta dua seri 2-2 dan 1-1 pada dua aksi awal sepanjang lima pertemuan menentang QAS yang merupakan juara Liga Hoki Australia.
Ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ternyata gembira dengan prestasi anak-anak buahnya yang sebelum ini pernah dinasihatkan beraksi menentang lawan-lawan daripada Divisyen Dua Liga Hoki Australia dua tahun lalu.
“Kami dinasihatkan agar bermain dalam Divisyen Dua kerana mereka takut kami dibelasah sewaktu mahu menyertai liga di sini dua tahun lalu.
“Satu perasaan yang cukup bagus kerana Queensland adalah juara liga Australia. Semua pemain QAS bermain sepanjang lima siri persahabatan ini kecuali lima tonggak skuad kebangsaan Australia yang sedang bermain pada Piala Dunia 2018 di London.
“Sekarang selepas dua tahun, kami mampu menewaskan juara Australia walaupun QAS bermain tanpa pemain-pemain kebangsaan mereka,” katanya.
Tiga gol Malaysian Tigress pada aksi persahabatan terakhir semalam diperoleh menerusi dua jaringan pakar flick, Nuraini Abdul Rashid dan satu daripada Raja Norsharina Raja Shabuddin.
Mengulas lanjut, Dhaarma berharap kecemerlangan dipamerkan di bumi Australia dapat diteruskan pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia bulan depan.
“Kami mendahului dua gol sebelum membenarkan pihak lawan menyamakan kedudukan pada suku masa terakhir. Bagaimanapun, kami berjaya bangkit meledak gol kemenangan menerusi pukulan sudut penalti.
“Banyak peningkatan berlaku dalam setiap perlawanan di sini. Saya harap berbekalkan semangat dan persembahan bagus ditunjukkan di sini akan membolehkan kami memberikan yang terbaik pada Sukan Asia 2018,” jelasnya.











