LONDON – Mengejar jurang mata pendahulu carta pelumba MotoGP, Marc Marquez bukanlah keutamaan pelumba Ducati, Andrea Dovizioso yang mengakui lebih gusar dengan kebangkitan dua pelumba Yamaha, Valentino Rossi dan Maverick Vinales.
Tahun lalu, Dovizioso megah tampil sebagai pencabar utama Marquez dalam mengejar gelaran juara, sekali gus kembali meletakkan Ducati sebagai salah satu pesaing terbesar MotoGP.
Bagaimanapun, suasana berubah pada tahun ini apabila Dovizioso menghabiskan separuh musim 2018 di kedudukan keempat dengan perbezaan 77 mata di belakang Marquez setelah hanya sekali menaiki podium di Qatar.
Sehubungan itu, pelumba kelahiran Itali itu enggan berfikir terlalu jauh dan mahu fokus mengejar kedudukan Rossi dan Vinales yang masing-masing berada 31 dan 21 mata di hadapannya terlebih dahulu.
“Saya lebih risau prestasi Rossi dan Vinales berbanding Marquez. Kami (Ducati) perlu segera memperbaiki kedudukan dan mengutip lebih banyak mata.
“Secara jujur, kami tidak memiliki banyak perbezaan dari segi kelajuan. Ini adalah sesuatu yang positif.
“Saya percaya kami boleh tampil lebih kompetitif sekiranya terus perbetulkan beberapa aspek,” katanya. – Agensi











