Enam ditahan SPRM - Utusan Malaysia

Enam ditahan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 17 Julai – Bekas Penolong Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Johor ditahan Suruhanjaya Pence­gahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri bagi membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu.

Penahanan wanita berusia 30 tahun itu dilakukan di pejabat SPRM Johor di sini kira-kira pukul 11 pagi susulan penahanan lima kontraktor lelaki dari syarikat berasingan berhubung kes yang sama, malam tadi.

Menurut sumber SPRM, wa­nita itu didapati bersubahat de­ngan semua kontraktor terbabit dalam membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran beberapa program yang tidak dilaksanakan dua tahun lalu.

Tuntutan palsu yang dibuat membabitkan program Karnival Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Keusahawanan di Segamat, Mersing, Muar, Kluang, Tangkak dan Kulai serta Program Minggu Program Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan peringkat negeri.

Bagi program tersebut, mereka membuat tuntutan palsu kepada UPEN Johor dengan jumlah ke­seluruhan melebihi RM400,000.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dilakukan pihaknya bagi membantu siasatan.

Terdahulu, kelima-lima kontraktor ditahan reman selama enam hari bermula hari ini selepas perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Norhidayah Abdul Manaf.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×