EKORAN tragedi tsunami yang melanda negara pada 26 Disember 2004, Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Meteorologi Malaysia membangunkan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) pada 2005.
Tujuan utama penubuhan SAATNM adalah mengeluarkan amaran awal tsunami yang efektif dan cepat kepada orang awam jika berlaku tsunami di Lautan Hindi, Laut Andaman, Laut China Selatan, Laut Sulu, Laut Sulawesi dan Lautan Pasifik yang berkemungkinan menjejaskan negara.
Jabatan Meteorologi Malaysia atau lebih dikenali sebagai MET Malaysia adalah agensi tunggal di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang bertanggungjawab memantau aktiviti gempa bumi dan mengeluarkan maklumat gempa bumi serta amaran awal tsunami di Malaysia.
Operasi pemantauan dilaksanakan oleh Pusat Operasi Cuaca dan Geofzik Nasional (POCGN) – MET Malaysia; 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sepanjang tahun dan boleh dihubungi oleh orang awam pada setiap masa.
SAATNM beroperasi di bawah interaksi tiga komponen utama iaitu Komponen Pengumpulan Data, Komponen Pemprosesan Data dan Komponen Penyebaran.
Komponen Pemprosesan Data adalah aplikasi dan perisian pemprosesan data seismik dan pemodelan tsunami. Aplikasi pemprosesan secara automatik data seismik yang digunakan di MET Malaysia dikenali sebagai aplikasi Seiscomp3 dan Antelope bagi menentukan parameter seperti pusat gempa, kedalaman dan kekuatan (magnitud) sesuatu gempa bumi yang berlaku di dalam atau luar Malaysia.
Pemodelan tsunami pula merupakan simulasi model tsunami daripada senario tsunami yang menghasilkan output ketinggian ombak tsunami dan masa ketibaan tsunami di kawasan pantai Malaysia.
Komponen terakhir iaitu Komponen Penyebaran dikenali juga sebagai sistem penyampaian dan hebahan.

Ia berfungsi mengeluarkan maklumat atau buletin gempa bumi dan amaran awal tsunami kepada orang awam dan agensi-agensi pengurusan bencana melalui pelbagai saluran komunikasi seperti sistem pesanan ringkas (SMS), e-mel, faks, hebahan di laman web, aplikasi myCuaca, radio dan televisyen serta kenyataan akhbar.
Informasi yang sama juga boleh diakses di media sosial rasmi MET Malaysia (Facebook, Instagram dan Twitter). Selain itu, hebahan di TV oleh penyampai MET Malaysia turut bersiaran tiga kali sehari bagi memastikan orang awam mendapat maklumat yang terkini, tepat dan sahih.
Dalam situasi berlakunya ancaman tsunami yang memerlukan pengungsian (evacuation), siren tsunami akan diaktifkan. Sehingga kini, Malaysia dilengkapi 53 siren tsunami yang ditempatkan di kawasan pantai yang strategik seluruh negara.
Dari semasa ke semasa, MET Malaysia sentiasa mengkaji dan menambah baik kelengkapan, perisian dan keupayaan sistem agar selari dengan teknologi pemantauan gempa bumi dan tsunami terkini.
SAATNM kini turut dilengkapi sistem pemprosesan yang dinamakan Advanced Decision and Dissemination Malaysia Seismic and Tsunami Information System (ADMIS) mulai Ogos 2017.
Penggunaan sistem ini telah meningkatkan kecekapan dalam menganalisis dan menyebarkan maklumat kejadian gempa bumi kepada agensi pengurusan bencana dan orang awam dalam tempoh lapan minit dari masa gempa bumi dikesan.
Selain itu, aspek utama yang tidak diabaikan adalah penyampaian perkhidmatan kepada orang awam.
BANGUNKAN LAMAN WEB
MET Malaysia telah membangunkan laman web myGempa yang boleh diakses di http://mygempa.met.gov.my.
Di antara produk yang boleh dicapai adalah aplikasi Peta Gegaran (ShakeMap) yang dapat memberikan maklumat gempa bumi dengan lebih komprehensif merangkumi gambaran tuntas mengenai kejadian gempa bumi serta tindakan susulan oleh Agensi Pengurusan Bencana dalam menguruskan bantuan bencana dengan efisien.
Semua usaha ini dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan aspek pemantauan gempa bumi dan tsunami di Malaysia selaras dengan perkembangan teknologi terkini. Ia bagi menjamin kesejahteraan rakyat melalui kesiapsiagaan Malaysia menghadapi ancaman gempa bumi dan tsunami di masa hadapan.
Sehingga kini, negara mempunyai Sistem Amaran Awal Tsunami yang canggih dan setara dengan negara-negara maju lain serta berupaya mengesan kejadian gempa bumi dan tsunami.
Penyebaran maklumat gempa bumi dapat dilakukan dalam masa lapan minit selepas kejadian gempa bumi dikesan. Namun begitu secanggih mana sistem yang dibangunkan, ia tidak akan berkesan jika orang ramai tidak memahami dan tidak tahu apa yang harus dilakukan setelah menerima maklumat dan amaran awal yang dikeluarkan oleh MET Malaysia.
Disebabkan bencana tsunami adalah jarang berlaku, maka orang ramai cenderung untuk lupa dan tidak membuat persediaan rapi. Selain itu, sifat semula jadi kejadian gempa bumi yang tidak boleh diramal turut menjadi cabaran di dalam menguruskan risiko bencana alam ini.
Semua sedia maklum bahawa bencana alam tidak boleh dicegah, tetapi ilmu pengetahuan, perancangan dan persediaan awal dapat meminimumkan impak kematian dan kemusnahan harta benda.
Salah satu komponen utama dalam usaha mengurangkan impak negatif bencana alam adalah dengan memperkasa kesedaran awam seperti program program kesedaran awam dan Latih Amal Tsunami.
Semua lapisan masyarakat perlu dididik dengan pengetahuan mengenai risiko bencana yang mereka hadapi, sistem amaran awal yang ada di negara ini serta tatacara menyelamatkan diri apabila berlaku sesuatu bencana.
PERSEDIAAN DAN KESEDARAN AWAM
Kejayaan di sebalik sistem amaran awal adalah apabila sistem berupaya memberikan ‘masa yang mencukupi’ atau dikenali sebagai ‘masa keemasan’ bagi komuniti yang berisiko untuk menyelamatkan diri apabila berdepan dengan ancaman bencana alam.
Masyarakat pula perlu menghargai ‘masa keemasan’ ini dengan bijaksana agar dapat mengambil tindakan yang bersesuaian untuk menyelamatkan diri.
Justeru, kata kunci kejayaan menggunakan “masa keemasan” ini adalah “kesedaran awam” dan “persediaan”. MET Malaysia komited dan secara berterusan berusaha mendidik orang awam menerusi pelbagai strategi pelaksanaan program dan aktiviti.
Pendekatan berbeza turut diambil iaitu dengan pelaksanaan program turun padang mendekati masyarakat, program-program bersifat simulasi latih amal (drill) serta program ilmiah seperti bengkel dan ceramah kesedaran awam.
Hebahan menerusi program bual bicara atau temu bual di radio dan televisyen juga merupakan salah satu inisiatif MET Malaysia untuk mendekati masyarakat dan menyebarkan ilmu pengetahuan.
Selain itu, MET Malaysia turut berusaha memperkasakan penggunaan teknologi maya dengan menyediakan maklumat, informasi pendidikan serta penulisan ilmiah yang boleh dicapai di laman web Jabatan termasuk perkongsian maklumat di media sosial rasmi Jabatan (Facebook, Instagram dan Twitter).
LAKSANA 19 LATIHAN
MET Malaysia mengambil inisiatif memperkasakan kapasiti tindak balas dan kesiapsiagaan orang awam dalam menghadapi sebarang risiko bencana sejak tahun 2006 lagi.
MET Malaysia dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah melaksanakan 19 siri Latih Amal Tsunami sejak 2006 di seluruh negara iaitu 10 daripadanya dilaksanakan di Semenanjung, enam (6) di Sabah, satu (1) di Sarawak dan dua (2) di Wilayah Persekutuan Labuan.
Keseluruhan 19 siri Latih Amal Tsunami ini melibatkan 19,776 peserta. Semua ini adalah usaha untuk membolehkan kerajaan menguji keberkesanan sistem amaran awal tsunami serta tindak balas daripada agensi-agensi pengurusan bencana dan masyarakat terhadap amaran awal tsunami.
Selain Latih Amal Tsunami, sejumlah 87 siri Kempen Kesedaran Awam turut dilaksanakan di seluruh negara sejak tahun 2007. Sejumlah 53 siri Kempen Kesedaran Awam dijalankan di Semenanjung, 23 siri di Sabah, sembilan di Sarawak dan dua di Labuan. Kesemua 87 program kesedaran awam ini disertai oleh 20,172 orang di seluruh negara.
Program Kesedaran Awam dan Latih Amal Tsunami disasarkan kepada orang awam khususnya komuniti setempat, pelajar-pelajar dan warga sekolah, agensi awam atau swasta, pasukan pengurusan bencana tempatan atau negeri, NGO, sukarelawan serta pihak media.
Pengisian program yang dirancang dalam bentuk sesi akademik iaitu taklimat dan ceramah kesedaran awam mengenai risiko bencana dan simulasi atau praktikal pengungsian untuk menilai tahap kesiapsiagaan komuniti setempat dalam menghadapi bencana.
Program ini turut memberi pengetahuan dan panduan kepada peserta mengenai cara menyelamatkan diri sekiranya berlaku bencana selain perkongsian pengetahuan berkenaan perkhidmatan dan peranan MET Malaysia dan agensi-agensi di bawah pengurusan bencana di Malaysia.
Aktiviti turun padang sebegini berjaya mendapat tempat di hati masyarakat terutamanya penduduk tempatan yang tinggal di kawasan berisiko tinggi seperti di pesisir pantai.
Kerjasama dan penglibatan orang awam, masyarakat setempat serta agensi-agensi yang terlibat di dalam pengurusan bencana sangat diperlukan dalam usaha mempersiapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan, disiplin, moral dan semangat agar mempunyai kesedaran dan bersedia menghadapi ancaman bencana gempa bumi dan tsunami.
MET Malaysia komited dan akan terus melaksanakan program-program sebegini demi memupuk kesedaran awam dan kesiapsiagaan di kalangan rakyat Malaysia.











