Dakwa wujud unsur monopoli tender bekal ubat - Utusan Malaysia

Dakwa wujud unsur monopoli tender bekal ubat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 22 Jun – Seorang wa­kil rakyat hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa wujud unsur monopoli dalam pemberian tender pembekalan ubat-ubatan di Kementerian Kesihatan bagi tempoh 2013-2016.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago men­dakwa, monopoli itu melibatkan tiga syarikat farmaseutikal yang membekalkan ubat-ubatan kepada hospital kerajaan de­ngan nilai antara RM3.7 bilion dan RM4.8 bilion.

Beliau turut menyerahkan 13 dokumen setebal 150 muka surat yang mengandungi nama ahli politik, pegawai tinggi Kementerian Kesihatan dan individu yang mempunyai kaitan dengan ahli politik yang dipercayai menjadi ejen atau orang tengah kepada tiga syarikat farmaseutikal terbabit.

“Saya mahu SPRM menyiasat syarikat ini dan juga individu yang dinamakan dalam dokumen yang saya serahkan tadi, malah ada nama ahli politik dalam dokumen ini merupakan mereka pernah didakwa melakukan ke­salahan rasuah.

“Tindakan pegawai kerajaan menjadi orang tengah juga secara terang melanggar undang-undang SPRM,” katanya selepas membuat laporan berkenaan di Pejabat SPRM Selangor, di sini hari ini.

Charles mendakwa, kewujudan ejen atau orang tengah merupakan antara punca harga ubat-ubatan di negara ini lebih mahal antara 30 peratus dan 148 peratus berbanding negara lain.

“Sebagai contoh, harga ubat kanser di sini adalah RM2,000 hingga RM9,000. Harga ini adalah amat tinggi terutama bagi pesakit berpendapatan rendah,” katanya.

Charles juga menggesa Kementerian Kesihatan menghapuskan penggunaan orang tengah dalam proses pemerolehan ubat-ubatan bagi menjimatkan kos. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN