KUALA LUMPUR 22 Jun – Projek Transit Aliran Massa laluan tiga (MRT3) bernilai RM45 bilion yang 75 peratus daripada projek itu membabitkan laluan bawah tanah secara rasmi dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, projek MRT2 laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya sepanjang 52.2 kilometer diteruskan dengan pengurangan kos.
“MRT2 akan diteruskan dengan pengurangan kos. Kini kita masih memikirkan mekanisme untuk mengurangkan kos pembinaan (MRT2),” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan kira-kira setengah jam di Menara Ilham di sini hari ini.
Sharil, bagaimanapun enggan mengulas mengenai jumlah pengurangan tersebut.
“Kami berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan kos dalam menjimatkan wang rakyat,” katanya.
Projek MRT3 yang merupakan laluan kereta api bandar sejauh 40 kilometer telah diluluskan di bawah kerajaan terdahulu, namun kontrak bagi kerja-kerja pembinaan belum diberikan secara rasmi.
Fasa pertama MRT3 dijangka siap menjelang Disember 2025. Kerajaan meluluskan pembinaan projek berkenaan pada 30 Oktober tahun lalu.
Sebelum ini, beberapa penganalisis industri berpendapat bahawa projek MRT3 mungkin akan dilaksanakan pada masa akan datang, memandangkan ia menggabungkan semua rangkaian pengangkutan rel sedia di bandar.
Dalam pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan hari ini beliau berkata, mereka berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mengenai mekanisme untuk mengurangkan kos MRT2.
Projek MRT2 yang bermula dari Sungai Buloh sebelum melalui Serdang dan perhentian akhirnya di Putrajaya itu mempunyai 36 stesen.
Projek bernilai RM32 bilion yang melibatkan 11 stesen bawah tanah itu dijangka mampu menampung 530,000 orang penumpang harian apabila siap kelak dan memudahkan perjalanan menghubungkan pusat bandar raya Kuala Lumpur dengan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
MRT2 dijangka siap sepenuhnya pada 2022.











